Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,
“Sesungguhnya wahai manusia, Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa.” -Al- hujurat,13
Apakah nilai bangsa pada diri kamu.. ? Adakah bangsa yang kamu warisi sejak turun temurun itu begitu hebat dan gah sehinggakan kamu lebih mengutamakan bangsa dari agama kamu ? Apakah dengan kekuatan bangsa yang kamu cuba satukan itu lebih hebat dari takwa di sisi-Nya ? Jika dengan bangsa,kamu beranggapan kamu mampu menumbangkan sebuah kerajaan, maka tidakkah kamu percaya dan yakin bahawa dengan agama, kamu mampu melumpuhkan semua empayar dan segala ideologi ciptaan manusia ? apakah agendamu wahai orang-orang yang mengagungkan bangsa ? adakah kekuasaan yang kamu cuba rebutkan itu mampu memberi kamu setengah lebihan sedutan nafas di hadapan timbang tara yang maha adil kelak ?
Mutakhir ini, agenda bangsa terlalu luas diperkatakan sehingga menjelikkan, memualkan. Seolah bangsa yang diperjuangkan itu terlalu hebat, terlalu suci, sementalaah, orang-orang yang sama ini mengabaikan perjuangan yang lebih baik, menjadikan bangsa-bangsa mereka, manusia-manusia yang bertawakkal. Ke mana agaknya bangsa ini akan mereka bawa ? mengejar dan menjarah segala isi perut bumikah ? menjanjikan kekuasaan yang tiada tolok perinya dan berpanjangan sehingga ke anak cucu mereka kah ? Ingin menjadikan bangsa-bangsa mereka satu bangsa yang lebih hebat kah ? Ingin disanjung oleh bangsa2 lain kah? …dan adakah Allah akan memandang mulia akan perkara tersebut?
Modernisasi sesebuah bangsa telah menjadikan tiang paksinya bukan lagi dari sumber yg paling teguh, malah bersumberkan dari asas yang paling rapuh. Mereka tidak lagi memandang al-Quran sebagai sumber yang boleh diyakini malah memperlekehkan agama sebagai perkara yang sudah lapuk dan kuno,serta tidak sesuai dengan proses modernisasi sesebuah kerajaan. …dan siapakah mereka untuk mempertikaikan akan kehebatan Allah yang menciptakan mereka, dari sehina segumpal tanah..
Duhai bangsaku, berhenti dan bertafakurlah sejenak.. kita sudah terlalu rosak dengan pemahaman ideologi yang tidak putus-putus datang meracuni kita.. Kembalilah kepada al-Quran dan al-Hadis, jadikan agama sebagai asas kehidupan kita, kerana dengan agama, sesebuah bangsa itu akan lebih dipandang mulia oleh Allah, tuhan yang menciptakan kita. Adakah kita lebih suka dipandang mulia oleh manusia dari bangsa2 lain dari dipandang mulia oleh Tuhan yang menciptakan kita ?
Bertafakurlah..dan berfikirlah sejenak...jadikan agama sebagai prinsip hidup kita yang sejati....kita sudah terlalu jauh menyimpang dan terlalu teruk telah dirosakkan..